suria

Tiada Perjanjian Sumbangan Mangsa Kren Runtuh - Asyraf Wajdi

KOTA BARU: Tiada ikatan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi berhubung tempoh bayaran sumbangan kepada mangsa kren tumbang di Makkah tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata tidak timbul isu berlakunya kelewatan bayaran sumbangan  kepada anggota keluarga tujuh jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam insiden kren runtuh di Masjidilharam September tahun lepas kerana ia hanya merupakan sumbangan dan bukannya pampasan.

"Kerajaan Arab Saudi mengambil tanggungjawab dan mengisytiharkan ingin memberikan sumbangan (dan bukannya pampasan), jadi sebab itulah kerajaan Arab Saudi dan Malaysia tidak ada apa-apa perjanjian yang mengikat untuk memastikan sumbangan ini dapat disalurkan secepat mungkin pada tempoh tertentu.

"Tetapi pada masa sama sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kerana rakyat kita juga terlibat dalam kren tumbang tersebut, justeru kerajaan sentiasa berhubung rapat (dengan kerajaan Arab Saudi)," katanya kepada pemberita selepas program World #QuranHour di Masjid Muhammadi di sini, Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Media Karangkraf Syahmi Fahim Mohd Fahim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan Dr Yusnan Yussof.

Dalam kejadian 11 September tahun lalu, tujuh warga Malaysia adalah antara lebih 100 jemaah haji yang terkorban, manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.

Menurut Saudi Press Agency, Penjaga Dua Kota Suci iaitu Raja Salman memerintahkan pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera.

Ditanya mengenai program World #QuranHour itu, Asyraf Wajdi berkata ia diharap dapat menjadi satu gelombang kepada umat Islam di negara ini untuk membawa, menghayati dan mengamalkan al-Quran di dalam kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata menerusi program berkenaan, umat Islam di negara ini tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik dapat duduk bersama dan menghayati al-Quran berasaskan panduan yang sama.

"Ini adalah satu perkara yang kita perlu semarakkan dalam konteks Malaysia supaya umat (Islam) ini berjiwa lebih besar dan melihat Islam itu lebih tinggi daripada segala-galanya.

"Kita boleh berbeza pandangan tapi akhirnya panduan kita adalah satu iaitu al-Quran," katanya.-- Bernama







Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain