suria

80 Keluarga Mangsa Ribut Di Pasir Gudang Terima Bantuan Segera

JOHOR BARU: Sebanyak 80 keluarga yang menjadi mangsa kejadian ribut di Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang di sini Jumaat lepas, menerima bantuan tunai daripada pelbagai pihak.

Bantuan itu disalurkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor, Yayasan Pasir Gudang dan Majlis Agama Islam Johor. 

Bantuan sebanyak RM1,500 kepada setiap keluarga itu disampaikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Tiram Datuk Maulizan Bujang di Dewan Muafakat Kampung Pasir Putih di sini pada Ahad.

Bercakap kepada pemberita selepas penyampaian bantuan itu, Maulizan berharap bantuan itu dapat meringankan beban mangsa untuk membaiki rumah masing-masing,  menjelang sambutan Hari Raya Haji esok.

"Selepas bantuan ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turun melakukan bancian atau tinjauan di tempat kejadian bagi menentukan bantuan sagu hati seterusnya untuk diberikan kepada mangsa.

"Bagaimanapun, bantuan sagu hati itu berdasarkan kepada tahap kerosakan rumah mereka," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut turun padang meninjau keadaan mangsa ribut. 

Sementara itu, seorang daripada penerima bantuan, Abdul Razak Ahmad, 70, berkata dia bersyukur dan berterima kasih ke atas keprihatinan diberikan, dan merancang untuk menggunakan bantuan itu bagi membaiki separuh daripada atap rumahnya yang diterbangkan ribut pada kejadian terbabit.

"Terima kasih sebab ada pihak yang sanggup tolong," katanya yang kini menumpang di rumah saudara mara sementara menunggu rumah dibaiki.

Kejadian kira-kira 3 petang pada Jumaat itu, menyebabkan kebanyakan daripada 80 rumah didiami 395 mangsa mengalami kerosakan bumbung akibat tercabut dan diterbangkan angin kencang.

Beberapa pokok juga tumbang manakala beberapa kenderaan terjejas, bagaimanapun kejadian tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. - Bernama


Pasir Gudang, Khaled Nordin

Artikel Sebelum

Artikel Lain