suria

TH Berjaya Patuhi Arahan Keselamatan Arab Saudi - Jamil Khir

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
MAKKAH: Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran operasi haji di Tanah Suci musim ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata mulai tahun ini terdapat penambahan beberapa syarat baharu yang diperkenalkan Arab Saudi bagi memantau jemaah haji seluruh dunia secara lebih efisien khususnya membabitkan aspek keselamatan.

"Tahniah kepada Tabung Haji kerana dapat melaksanakan 100 peratus pematuhan tersebut dan Malaysia merupakan antara negara yang memenuhi sepenuhnya penetapan baharu itu.

"Antaranya imbasan 10 cap jari jemaah dan pemakaian gelang `E-hajj' yang mempunyai maklumat penting jemaah ketika di Tanah Suci," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Janadriyah di sini, Khamis.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah, Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman dan Anggota Lembaga Pengarah TH Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Selain itu, katanya, TH juga sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi khidmat bakti kepada 22,320 jemaah haji negara yang akan memulakan operasi Masyai'ir membabitkan wukuf di Arafah, Muzdalifah dan Mina termasuk melontar di Jamrat.

Beliau berkata antara persediaan itu adalah memperkenalkan aplikasi `Hajj Mobility' iaitu pemantauan pergerakan bas ke Arafah dan juga program `Safari Wukuf' iaitu sistem perkhidmatan membawa pesakit secara sistematik ke sana.

"Safari Wukuf ini dilihat sebagai langkah terbaik menjamin keselesaan jemaah haji yang sakit untuk berwukuf nanti," katanya.

Wukuf di Arafah adalah pada Ahad ini dan kesemua jemaah haji akan mula ke sana sehari sebelum itu.

Beliau turut menasihati jemaah agar menjaga kesihatan secukupnya bagi melaksanakan wukuf itu nanti kerana ia merupakan syarat wajib haji dan kemuncak kepada ibadat tersebut.

"Berehatlah secukupnya dan berjumpa doktor segera jika ada masalah kesihatan," katanya.

Menurut Jamil Khir, jemaah juga perlu memperbanyakkan zikir dan bermunajat sepanjang melaksanakan operasi Masya'ir itu dan beliau mahu jemaah haji negara menjadi contoh kepada jemaah negara lain.

"Berdoalah untuk kemakmuran negara serta diri dan keluarga semasa di sana nanti," katanya.

Kepada lebih 600 petugas TH, beliau menasihati agar memberikan khidmat terbaik kepada jemaah haji nanti.

Artikel Lain