suria

SPRM Tahan Bekas Akauntan Berhubung Projek Saluran Paip

KUALA LUMPUR: Seorang bekas akauntan yang mempunyai kaitan dengan kontraktor utama projek saluran paip minyak bernilai jutaan ringgit telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu sumber mendedahkan bahawa wanita lingkungan usia 40-an itu ditahan sekitar pukul 12.30 tengah hari apabila beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"Wanita itu adalah bekas akauntan syarikat kontraktor utama yang membina projek saluran paip," kata sumber itu sambil menambah sebelum ini sembilan suspek telah ditahan antara 25 Ogos dan 2 September berkaitan kes ini.


Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut sambil menambah siasatan masih berterusan berhubung penipuan RM7 juta dana melibatkan sebuah syarikat minyak.

Sebelum ini dilaporkan bahawa SPRM akan mempercepatkan siasatan kes dakwaan salah guna kuasa dalam projek saluran paip minyak.

SPRM telah membekukan 17 akaun bank berjumlah RM5.5 juta dan menyita sebuah rumah dua tingkat, beberapa buah kereta mewah termasuk empat empat buah Rolls-Royce dan Ferrari, serta dua motosikal.


Seorang pengarah urusan sebuah syarikat minyak dan gas didakwa mengambil rasuah daripada sub-kontraktor yang melantiknya dan meluluskan invois palsu bagi projek bernilai RM76 juta itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain