suria

Penyokong LTTE Akan Dikenakan Tindakan - Khalid

Khalid (tiga dari kanan) bersama bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar (dua dari kanan), Tan Sri Norian Mai (kiri) dan Tan Sri Ismail Omar (kanan) selepas majlis perasmian Galeri Ketua Polis Negara di Bukit Aman pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Rakyat negara boleh dikenakan tindakan jika menyokong organisasi haram seperti kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), demikian amaran Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara itu berkata, polis akan menyiasat kumpulan dalam negara yang memprotes terhadap bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa minggu lalu.

"Saya beri amaran kepada kumpulan yang menyokong LTTE kerana ia diharamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Sebagai negara anggota, kita boleh mengambil tindakan terhadap penyokong kumpulan itu," katanya selepas melancarkan Galeri Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini.

Polis telah menahan lima individu berusia antara 27 dan 56 tahun dan kini mengesan empat lagi kerana menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

"Kami kesal dengan kejadian itu," kata Khalid.

Kata Khalid, dalam kejadian itu, Ibrahim mengalami luka pada muka dan badannya.

Susulan itu, Kementerian Luar Sri Lanka mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan terhadap pegawai kanannya.

"Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang di Malaysia serta pihak berwajib lain untuk mengenal pasti kumpulan yang menyerangnya bagi membantu siasatan," menurut kenyataan itu.

Portal berita Sri Lanka, Hiru News melaporkan kejadian itu berlaku ketika Ibrahim menghantar Menteri Industri Kecil, Daya Gamage pulang selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia yang turut disertai Rajapaksa.


Artikel Sebelum

Dr Mahathir Terdesak

Artikel Berikut

Artikel Lain