suria

Bangunan SK Bario Terbakar, 16 Murid Duduki UPSR Terjejas

MIRI: Persiapan 16 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bario menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Isnin terjejas apabila kelas yang bakal digunakan untuk peperiksaan itu terbakar Ahad.

Guru Besar SK Bario Dara Tigan berkata, akibat kebakaran 5.20 petang itu, murid berkenaan terpaksa menduduki peperiksaan di tempat lain.

"Mereka akan menduduki UPSR di Sekolah Menengah Kebangsaan Bario yang terletak bersebelahan dengan SK Bario,"katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad malam.

Dara berkata, blok bangunan yang terbakar itu menempatkan murid prasekolah, murid Tahun Satu hingga Enam dan dapur prasekolah.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku. Sesi persekolahan hanya melibatkan murid Tahun Enam yang menduduki UPSR kerana murid-murid lain diberi cuti gantian sempena UPSR," katanya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas di siling kelas prasekolah.

Menurutnya, kesemua murid yang menduduki USPR dibenarkan balik ke rumah masing-masing pada Ahad malam kerana tiada bekalan eletrik di asrama akibat kebakaran itu.

"Perbincangan lanjut akan diadakan esok bagi membincangkan di mana murid prasekolah, Tahun Satu hingga Tahun Enam belajar selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bomba Sukarela Bario, Ketua Kaum Frezier Kaya berkata, ketika kejadian itu, semua murid sedang makan di dewan.

"Akibatnya, koridor menghubungkan sekolah dan asrama terpaksa dirobohkan bagi mengelak kebakaran merebak ke bahagian asrama," katanya.

Bangunan SK Bario, yang terletak di kawasan tanah tinggi Bario, mengandungi tujuh bilik darjah, satu bilik komputer dan satu dapur prasekolah. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain