suria

KKM Akan Siasat Dakwaan Tiga Sekeluarga Dijangkiti Virus Zika Di Melaka

SEGAMAT: Kementerian Kesihatan akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan dalam media sosial berhubung tiga sekeluarga di Melaka yang baharu pulang dari Singapura dijangkiti virus Zika, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. 

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan darah dan air kencing sebelum membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu.

"Kita perlu tunggu keputusan ujian darah dan air kencing dahulu, kerana kadang-kadang seseorang itu hanya disyaki sahaja dan bukannya positif dijangki tivirus Zika," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran khabar angin menerusi media sosial tentang tiga sekeluarga yang baharu pulang dari Singapura dijangkiti virus Zika dan dikuarantinkan di rumah mereka di DurianTunggal, Melaka dan dipantau Pusat Kesihatan Durian Tunggal.

Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat itu berkata ujian darah positif masih belum cukup membuktikan bahawa seseorang itu telah dijangkiti virus Zika sebaliknya ia perlu menjalani kedua-dua ujian sebelum disahkan positif.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak lagi kes jangkitan virus Zika akan dikesan di negara ini memandangkan ramai rakyat Malaysia berkunjung atau bekerja di Singapura.

"Kerajaan Singapura telah membuat pengumuman hampir 100 orang rakyat negaranya dijangkiti virus Zika namun saya rasa jumlah tersebut mungkin lebih daripada itu kerana ada yang masih belum dapat dikesan.

Oleh yang demikian, peluang virus tersebut merebak ke Malaysia adalah tinggi kerana ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan pulang ke negara dan ia akan menjadi punca kepada virus tersebut merebak," katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke negara jiran, sama ada bekerja di sana atau melancong, untuk sentiasa memakai baju lengan panjang bagi mengelak risiko jangkitan.

Subramaniam berkata hanya satu kaedah berkesan bagi mengelak daripada berlakunya penularan virus Zika iaitu mengawal pembiakan nyamuk Aedes.

"Tugas mengawal pembiakan nyamuk Aedas dan penularan virus Zika bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan dan agensi berkuasa, sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua.

Sehubungan itu, saya menyeru agar badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk membantu kerajaan dengan mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Sebelum ini, seorang wanita tempatan berusia 58 dari Bandar Botanic, Klang,Selangor menjadi mangsa pertama disahkan dijangkiti virus Zika di Singapura. -Bernama

VIrus Zika, Melaka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kes Zika Kedua Di Malaysia

Artikel Lain