suria

Serangan Seksual: Bekas Doktor Minta Dibicarakan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas doktor di sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas wanita pekerja pencuci berumur 56 tahun, awal tahun lepas.

Ahmad Ahnaf Kamarulizham, 31, didakwa melakukan kesalahan pertama di dalam sebuah bilik menyusu di hospital sama antara 10.30 pagi dan 11.30 pagi pada 18 Mac 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan kedua di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut seksyen 377D kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Bapa dua anak itu turut berdepan dua pertuduhan pilihan iaitu mencabul wanita itu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Peguam Fahmi Abdul Moin yang mewakili Ahmad Ahnaf, memohon kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan, oleh kerana anak guamnya pada masa ini tidak bekerja dan isterinya pula yang sedang hamil, mencari nafkah untuk menyara keluarga.

"Tertuduh juga perlu menjaga anak-anaknya," kata peguam itu.

Pegawai pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub menolak sebarang jaminan bagi tertuduh.

Bagaimanapun, hakim Shamsudin Abdullah menetapkan jaminan RM12,000 berserta seorang penjamin, dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali.

Beliau turut menetapkan 28 Sept untuk sebutan.-- Bernama


Artikel Lain