suria

Pengambilan Vaksin Tidak Bercanggah Dengan Islam - Presiden Imam

SEREMBAN: Pengambilan vaksin membuktikan bahawa ia lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan sekaligus tidak bercanggah dengan Islam, kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad.

Beliau berkata pengambilan vaksin menurut pandangan Islam adalah harus memandangkan ia mampu mencegah kemudaratan daripada berlaku ke atas manusia.

"Amat sedih apabila vaksin dikaitkan dengan konspirasi dan sebagainya menyebabkan ada anak-anak orang Islam yang tidak diberi vaksin oleh ibu bapa menyebabkan mereka itu lemah dari segi daya tahan sekaligus boleh menyebabkan berlaku kematian.

"Seperti difteria, itu adalah disebabkan tidak mengambil pelalian imunisasi menyebabkan risiko bukan sahaja kepada yang tidak mengambil (vaksin) tetapi juga orang lain yang mengambilnya tapi dalam masa yang sama daya tahan kurang menyebabkan mereka itu turut mendapat sakit," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau ditemui pada Persidangan Saintifik ke-18 Imam, yang berlangsung hari ini dengan isu vaksin menjadi isu utama yang dibincangkan dalam persidangan tersebut.

Persidangan sehari itu dirasmikan Exco Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan dihadiri kira-kira 1,000 pengamal perubatan dari seluruh negara. 

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahim berkata penolakan pengambilan vaksin akan menyebabkan seseorang individu itu terdedah kepada pelbagai penyakit seperti campak, beguk, rubela, polio dan tibi.

"Vaksin ini dalam perubatan moden bergantung kepada 'evidence based'...jadi bukti saintifik menunjuk bahawa vaksin ini adalah satu yang terbukti boleh menyelamatkan nyawa dan cegah penyakit.

"Umpamanya polio, ia masih berleluasa di negara ketiga contohnya Afrika. Ini boleh dicegah dengan memberi vaksin polio dan virus itu kalau dah masuk tidak boleh ditahan lagi. Kesan sampingannya ialah akan berlaku kecacatan...jadi elok mencegah daripada awal lagi," katanya.

Polio adalah penyakit virus yang sangat mudah menular dan menyerang sistem saraf manusia.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahim tidak menolak bahawa pengamal perubatan kini berhadapan cabaran besar dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang pentingnya pengambilan vaksin.

"Sebenarnya mereka yang antivaksin bukannya dalam kalangan orang yang tak pandai. Jadi kita menghadapi cabaran yang besar untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya vaksin kerana mereka ada pengaruh untuk mengajak orang-orang lain mempercayai fahaman mereka itu. 

"Tapi bagaimanapun golongan ini tidak ramai...dan hari ini saya tengok ada kumpulan doktor-doktor yang dengan rela hati membuka blog dan bermacam lagi untuk cuba memberi penjelasan apa jua dakwaan yang dibuat tentang kesihatan.

Jadi ini adalah satu cara yang baik untuk kita tangani isu ini," katanya.-- Bernama

vaksin, Imam, Islam

Artikel Lain