suria

Kes Bunuh Kanak-Kanak: Suspek Pendiam, Kurang Bergaul

KUALA LUMPUR: Suspek kes bunuh kanak-kanak berusia lima tahun, Noor Amila Edrus Norsyam, disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan orang sekeliling.

Seorang pekerja kedai mencuci kereta yang berhampiran bengkel kereta suspek itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Deris, 26, berkata suspek yang menyewa bengkel tersebut hampir setahun lepas, sering berseorangan dan tidak mempunyai pekerja lain.

"Saya selalu nampak dia berseorangan sahaja di bengkel itu dan dia buka bengkel hanya apabila ada pelanggan tetap yang menghubunginya untuk membaiki kereta.

"Pada hari mangsa hilang, suspek bersama isterinya menaiki motosikal mencari mangsa dan sempat bertanya kami sama ada ternampak Edrus pada kira-kira pukul 10 malam.

"Kami memaklumkan tidak nampak dan selepas itu kami turut membantu mencari mangsa," katanya ketika ditemui Bernama di bengkel cuci kereta di Jinjang Utara, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penduduk kawasan berkenaan terkejut apabila melihat polis menahan suspek yang merupakan abang ipar tiri mangsa di bengkel berkenaan dan sepasukan anggota forensik pula membuat pemeriksaan di bengkel tersebut.

"Memang kami terkejut kerana bagaimana seorang yang pendiam boleh melakukan perbuatan kejam itu. Sampai sekarang kami sukar percaya dialah suspek yang terbabit dalam kes ini" katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata hasil soal siasat terhadap suspek, beliau membawa polis ke bengkel berkenaan di mana mangsa diikat sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak Kampung Kemensah, Hulu Kelang dekat sini, Khamis lepas.

Dalam pada itu, pemilik bengkel berkenaan, Mohammad Din, 40, yang kebetulan berada di kawasan berkenaan memberitahu Bernama bahawa dia jarang bertemu suspek melainkan ketika menerima bayaran sewa bengkel bulanan sebanyak RM300.

"Setakat ini, dia tidak pernah menangguh bayaran sewa sepanjang menyewa bengkel ini hampir setahun lalu dan dia juga tidak pernah mengadu mempunyai masalah kewangan," katanya sambil menambah kini bengkel itu dikunci disebabkan kes berkenaan.

Tinjauan Bernama di kawasan bengkel yang terletak di tempat terlindung daripada pandangan orang ramai itu, kelihatan usang dan tidak mempunyai sebarang papan tanda, turut dikunci.

Noor Amila Edrus dilaporkan hilang di Jinjang Utara pada 11 Ogos sebelum mayatnya ditemukan di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada 12.30 tengah hari Khamis lepas.

Suspek kini direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain