suria

Abang Ipar Suspek Utama Kes Culik Murid SK Miri

MIRI: Polis memburu abang ipar yang kini menjadi suspek utama kes culik seorang murid perempuan tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Miri tengah hari Selasa.

Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata, suspek utama ialah seorang penganggur dikenali sebagai Julian Jabong, 36, manakala mangsa dikenali sebagai Derrona Joylyn Joseph, 11.

"Kes telah diklasifikasikan sebagai kes culik di bawah sekyen 365 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Menceritakan kronologi kes tersebut, Junaidi berkata, abang kepada murid perempuan tersebut iaitu Aron Joseph telah membuat laporan polis berhubung kehilangan adik bongsunya pada pukul 6.24 petang semalam.

"Kejadian bermula pada pukul 12.30 tengah hari semalam di hadapan SK Miri, bila seorang lelaki dipercayai abang ipar menjemput mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek menggunakan kereta Perodua Viva berwarna putih dengan nombor pendaftaran QMU971 untuk mengambil mangsa pada ketika itu.

"Selepas suspek membawa mangsa dari sekolah sehingga sekarang suspek dan mangsa gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata, pada pukul 10.20 malam semalam kereta Perodua Viva QMU971 telah dijumpai dalam keadaan terbiar di tanah lapang Jalan Miri By Pass.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa tidak diketemukan di tempat kejadian.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat kes ini untuk menghubungi Inspektor Chalart Cinda Eh Nem 017-9825150 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri 085-433400/085-433730.

Artikel Lain