suria

Pengasas Syarikat Teksi Sokong Muhyiddin Jika Kerajaan Benar Operasi Uber, GrabCar

Datuk Shamsubahrin Ismail
KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat teksi Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail mengugut untuk memberikan sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika Kabinet tidak mengkaji semula keputusannya membenarkan perkhidmatan e-hailing, Uber dan GrabCar beroperasi secara sah.


"Bagi saya, tidak boleh. Kami akan berjuang habis-habisan dan akan menyokong Parti Pribumi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Shamsubahrin pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Shamsubahrin berkata mereka berharap Muhyiddin akan mendengar pandangan daripada industri teksi yang disifatkannya sebagai 'sudah lumpuh'.

Shamsubahrin menjelaskan bahawa beliau tidak menentang Uber tetapi mendakwa 'ini bukan masa yang sesuai untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing'.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu 'membersihkan dan melakukan transformasi industri teksi' sebelum membenarkan Uber beroperasi.

Katanya, keputusan terburu-buru telah dibuat disebabkan oleh kegagalan SPAD menguatkuasakan undang-undang.

"Mereka mengambil jalan mudah," katanya.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bahawa Uber dan GrabCar akan dikawal selia tidak lama lagi untuk memastikan persaingan yang adil.

Syed Hamid berkata, keputusan Kabinet itu adalah sebahagian daripada program transformasi kerajaan terhadap pengangkutan awam.

Muhyiddin telah menghantar dokumen bagi mendaftar sebuah parti baharu, sebuah parti serpihan Umno, Selasa lalu.

Artikel Lain