suria

KJ @ Ahmad Khairy Jamal Udeen Chowdhury

PETALING JAYA: Memperkenalkan Ahmad Khairy Jamal Udeen Chowdhury dari Chittagong, Bangladesh, tukang kutip sampah Alam Flora di kawasan kejiranan anda.

Tetapi jangan terkejut, jika diperhatikan dengan lebih dekat tentu anda mengenalinya.

Ya, itulah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dengan memakai rompi kalis cahaya, seluar dan kemeja-t lengan panjang lengkap serta topi Alam Flora, Khairy kelihatan memegang penyapu dan berdiri di sebelah trak sampah syarikat pengurusan sisa pepejal negara.

Jangan pula anda keliru, imej baharu Khairy ini bukan untuk suka-suka, sebaliknya untuk mewujudkan kesedaran terhadap usaha pengasingan sisa pepejal.

Watak Mat Bangla yang dipegang Ahli Parlimen Rambau ini dipaparkan menerusi filem pendek berdurasi lima minit.

Lebih mesra disapa KJ, Khairy menerusi laman sosial Facebooknya pada Khamis memaklumkan, beliau memegang watak sebagai Ahmad Khairy Jamal Udeen Chowdhury dari Chittagong, Bangladesh dan bakal tampil dalam filem pendek sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran belia terhadap pengurusan sisa pepejal, kitar semula dan menjaga alam sekitar.

"Ahmad Khairy sangat kagum dengan dasar kitar semula di negara angkat beliau, Meleishia (Malaysia)," tulis KJ, merujuk kepada watak yang dimainkan beliau.

KJ turut meluahkan rasa kagum beliau terhadap pekerja Alam Flora dan pengurusan sisa pepejal.

"Bila dah 'pakai kasut' mereka barulah kita tahu kerja yang sangat penting ini. Asingkan di punca!," luahnya.

Lakonan ini bukan yang pertama buat Khairy, sebelum ini beliau pernah melakonkan watak pemandu teksi menerusi projek filem pendek arahan Benji Lim pada 2009.




KJ, Mat Bangla, Alam Flora

Artikel Lain