suria

Tindakan Terhadap 1MDB Telah Diambil, Kes Ditutup - BNM

Datuk Muhammad Ibrahim
KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selesai dan semua tindakan yang perlu telah diambil terhadap kumpulan wang pelaburan negara itu, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami telah menyiapkan semua siasatan mengenai 1MDB berdasarkan kertas siasatan dan semua maklumat (yang ada).

"Kami telah mengenakan penalti kepada syarikat itu, kami telah mengambil segala tindakan yang perlu terhadap syarikat itu yang diamanahkan kepada kami di bawah undang-undang dan kami telah menutup siasatan," kata Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau menjawab soalan sama ada bank pusat akan memulakan siasatan baharu ke atas 1MDB selepas pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

DOJ bulan lalu memfailkan saman sivil terhadap beberapa individu untuk menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa diperolehi daripada hasil dana 1MDB yang disalahguna.


Muhammad berkata BNM akan dipandu oleh protokol antarabangsa jika DOJ mahu mendapatkan bantuan bank pusat itu dalam menyiasat isu berkaitan 1MDB.

"Apabila datang kepada penemuan antarabangsa, kami ditentukan oleh protokol tertentu," katanya.

"Kami secara tegas tetap akan mematuhi protokol-protokol itu dalam kerjasama dengan mana-mana badan penyiasat luar," katanya.

BNM pada April mengeluarkan kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang telah dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

1MDB pada Mei berkata ia telah membayar sepenuhnya jumlah denda yang tidak didedahkan itu.

BNM ketika itu berkata pembayaran kompaun itu menandakan tamatnya siasatannya berhubung perlanggaran peraturan-peraturan bank pusat.
DOJ, BNM, 1MDB, protokol antarabangsa

Artikel Lain