suria

Sudut Buku Mengenai Malaysia Di Perpustakaan Santiago

KUALA LUMPUR: Satu sudut yang dinamakan 'Malaysian Book Corner' (Sudut Buku Malaysia) yang direka oleh Majlis Perbandaran Colina di Perpustakaan Colina, Santiago akan menarik lebih ramai penduduk di bandar itu belajar mengenai Malaysia.

Kedutaan Malaysia di Santiago, Chile berkata sudut buku yang memaparkan bahan-bahan seperti buku, risalah dan barangan dari Malaysia dilancarkan oleh Duta Besar Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan Datuk Bandar Colina, Don Marco.

"Ia dinamakan sebagai Malaysian Book Corner dan dijangka dapat menarik masyarakat di Colina dan Chile untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Malaysia dalam senario yang kos efektif," kata kedutaan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama, Khamis.

Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada acara Aktiviti Promosi Malaysia yang diadakan semalam di Perpustakaan Colina, terletak 30 kilometer dari bandar Santiago.

Menurut kenyataan itu, Mohamad Rameez juga diberi kesempatan untuk bercerita mengenai Malaysia kepada lebih 150 pengunjung termasuk dari Pejabat Datuk Bandar Colina, kakitangan perpustakaan dan pelajar dari Secretary College of Colina.

Acara dua jam itu turut membabitkan penglibatan pelancongan, pelaburan dan diplomasi dengan tetamu, demonstrasi masakan oleh isteri diplomat Malaysia di Santiago di bawah Perwakilan Ladies Santiago serta hidangan juadah Malaysia kepada tetamu yang terdiri daripada kuih tradisional, mihun goreng dan teh tarik.

-- Bernama
Malaysia, Santiago, Don Marco

Artikel Lain