suria

Kemelut T'ganu Perlu Diselesai Segera Elak Rakyat Terbeban - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein.

BAGAN DATOH: Kepimpinan Umno di Terengganu perlu menyelesaikan segera kemelut politik di negeri itu untuk mengelak ia daripada membebankan rakyat, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, kemelut itu perlu diselesaikan bermula dari peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.

"Ini bukan kali pertama, tetapi ia boleh ditangani jika ada iltizam politik dan keseriusan dalam kalangan ahli (dan pemimpin)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini, Sabtu.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

Sejak awal minggu lalu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri. 

Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Umno Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. 

Umno menang 17 kerusi DUN, PAS (14) dan PKR (satu). - Bernama

Artikel Lain