Kumpulan Pertama 489 Jemaah Haji Berlepas Ke Tanah Suci - Semasa | mStar

Kumpulan Pertama 489 Jemaah Haji Berlepas Ke Tanah Suci

Kumpulan pertama jemaah haji memeriksa beg masing-masing sebelum perlepasan ke tanah suci di Kompleks Tabung Haji pada Rabu. Foto Bernama

PETALING JAYA: Kumpulan pertama 489 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada 5 pagi Khamis, dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan dijangka tiba di Madinah pada 9.10 pagi waktu Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Johan Abdullah berkata daripada jumlah itu, 205 adalah jemaah lelaki, 235 jemaah wanita dan selebihnya petugas haji.

"Sebelum ini, kita sudah menghantar 210 petugas awal ke Tanah Suci bagi menguruskan persiapan untuk para jemaah termasuk penginapan serta membuka pejabat operasi di Madinah," katanya pada sidang media sempena pelepasan jemaah haji di Kompleks TH Kelana Jaya, dekat sini malam Rabu.

Johan berkata, jumlah keseluruhan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah sebanyak 47 penerbangan melibatkan 22 pesawat Airbus A380 MAS, yang setiap pesawat mampu memuatkan 489 jemaah haji, serta 25 penerbangan menggunakan pesawat Boeing 747 Saudi Airlines.

Katanya, pada musim haji tahun ini, 50 penerbangan transit secara terus akan beroperasi untuk membawa jemaah ke KLIA iaitu dari Pulau Pinang, Johor Baharu, Alor Setar, Kota Baharu, Kuala Terengganu dan Kuching.

Jemaah haji Malaysia yang kesemuanya berjumlah 22,320 orang tahun ini, akan bertolak secara berperingkat ke Tanah Suci dengan penerbangan terakhir pada 5 September, manakala perjalanan pulang mulai 18 September hingga 15 Oktober.

Mengenai kuota haji tahun ini, Johan berkata, ia berkurangan 20 peratus daripada kuota asal sebanyak 27,900 hingga 28,000 jemaah haji berikutan projek pembesaran Masjidil Haram yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata, memandangkan suhu di Tanah Suci dijangka mencecah 50 darjah Celsius, jemaah dinasihatkan untuk minum air dengan kerap dan mengelak daripada terdedah terlalu lama di tempat terbuka.

Bagaimanapun, katanya pasukan perubatan TH sentiasa bersedia memberi khidmat pada bila-bila masa kepada jemaah.

Dari aspek keselamatan pula, beliau berkata TH telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menangani isu-isu tertentu.

"Jemaah turut akan diberi taklimat sebaik tiba di Tanah Suci berhubung aspek keselamatan selain talian bantuan kecemasan yang boleh dihubungi pada bila-bila masa yang dilekatkan di gelang tangan jemaah," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri dari Kuantan, Pahang, menzahirkan rasa syukur dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu selepas mendaftar haji pada 2007.

Amri Naib, 65, dan Aminah Abdul Hanipah, 62, berkata mereka telah melakukan persiapan lebih awal setelah menerima surat makluman panggilan haji daripada TH.

"Alhamdulillah, hajat kami untuk menjadi tetamu Allah telah termakbul dan kami berdoa semoga ibadah kami diterima dan diberi kesihatan yang baik di sana," kata Amri yang merupakan pesara kerajaan.

Senada dengan Amri, Mohamad Abu, 70, dari Jasin, Melaka, yang berdoa agar beliau sihat dan bertenaga sepanjang mengerjakan ibadah haji. - Bernama

jemaah haji , Tabung Haji , TH

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain