suria

Laporan Audit 1MDB Diklasifikasikan Rahsia Selepas Didapati Ada Kebocoran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Isnin diberitahu  bahawa laporan pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) diklasifikasikan sebagai rahsia selepas didapati ada kebocoran terhadap laporan interim 1MDB yang dihantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Julai tahun lepas.

Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang, 67, berkata selepas berlaku  kebocoran maklumat daripada laporan interim, Jabatan Audit Negara (JAN) menjangkakan laporan akhir audit 1MDB juga berkemungkinan dibocorkan.

"Saya sendiri sebagai ketua audit negara yang mengklasifikasikan laporan  pengauditan 1MDB pada Januari lepas, selepas saya diberi kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi oleh perdana menteri Malaysia.

"Saya mendapat tahu hal berhubung kebocoran maklumat selepas pegawai saya  menunjukkan salinan muka surat 98 dalam blog dan laman sosial Facebook yang  mengupas isu mengenai 1MDB," katanya pada perbicaraan hari keempat kes anggota  Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang didakwa memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1MDB di sini.

Amrin merupakan saksi pendakwaan kelima bagi perbicaraan kes itu.

Beliau berkata pengauditan khas terhadap 1MDB dibuat berdasarkan permintaan  daripada PAC dan jemaah menteri, laporan akhir itu kemudian diserahkan kepada PAC.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan  Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain