suria

Pertukaran Exco Perkara Biasa - Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU: Rombakan dan penstrukturan semula portfolio anggota Exco kerajaan negeri yang berkuat kuasa 1 Ogos ini tidak wajar dipersoalkan kerana ia adalah transformasi kerajaan Terengganu untuk memantapkan pentadbiran.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata rombakan yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas itu juga adalah perkara biasa, malah tiada sebarang isu yang harus ditimbulkan.

"Pertukaran ini perkara biasa...ini yang dinamakan transfromasi kerajaan, " katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Malam Penghargaan Media Bersama Eastern Pacific Corporation (EPIC) di sini.

Majlis yang bertujuan menghargai sumbangan media itu dihadiri kira-kira 100 pengamal media di negeri ini.

Mengenai pelantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ahmad Razif berkata perkara itu bukan perkara baharu.

"Malah setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang jawatan pengerusi secara automatik dilantik memegang jawatan timbalan pengerusi.

"Sebelum ini Ahmad Said memang ada memegang jawatan timbalan pengerusi, cuma kita tak umum jawatan itu...tapi sekarang kita umumkan jawatan timbalan pengerusi sebab nak mudahkan urusan pentadbiran.

"Ini sudah menjadi perkara biasa dan bukan perkara baharu...lagipun kita memang tak cukup orang sampai ada ada wakil rakyat BN yang menjawat sehingga dua jawatan timbalan. Jadi, jawatan timbalan kita kekalkan, tak ada perubahan," katanya.

Artikel Lain