suria

1MDB: Polis Selesai Rakam Keterangan Lebih 25 Orang

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Polis telah merakam kenyataan lebih 25 orang bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang telah memberi kenyataan termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada bulan lepas.

Beliau berkata fasa pertama siasatan untuk melihat dokumen dan merekod keterangan saksi dalam negara hampir selesai.

"Fasa kedua adalah untuk menghantar pegawai polis ke luar negara untuk merakam kenyataan saksi dan mendapatkan dokumen-dokumen yang berada di sana.

"Merakam keterangan saksi memakan masa berminggu-minggu," kata Khalid kepada pemberita selepas menutup program Trim  and  Fit 2016 di Pusat Latihan Polis di sini Khamis.

Ditanya bila PDRM akan menghantar pegawainya ke luar negara, Khalid berkata ia akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata siasatan berhubung 1MDB adalah berlandaskan kepada beberapa syor yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen sebelum ini, termasuk polis menjalankan tanggungjawabnya.

Beliau turut membidas laporan sebuah portal berita yang mempersoal pembentangan laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

"PAC telah berpeluang memanggil saksi-saksi semasa mereka menyiasat dan mendengar pembentangan Laporan Ketua Audit Negara, kenapa sekarang timbul beberapa persoalan hanya kerana portal ini mengeluarkan laporan tersebut," katanya.

Khalid menarik perhatian bahawa Kabinet juga telah mengarahkan polis menjalankan siasatan berlandaskan beberapa syor daripada PAC.

Mengenai prosiding sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi mendapatkan semula aset yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, Khalid berkata pihaknya tidak secara rasmi dimaklumkan jabatan itu mengenai perkara berkenaan.

Artikel Lain