suria

Pembinaan Lebuh Raya Dash, Suke Diteruskan Seperti Dirancang - Noh Omar

Tan Sri Noh Omar
SHAH ALAM: Pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) akan dilaksanakan seperti dirancang walaupun berdepan pelbagai halangan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata pembinaan kedua-dua lebuh raya itu dengan kos kira-kira RM9.87 bilion adalah sebahagian daripada lima projek lebuh raya yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di Selangor.

"Pembinaan Dash dan Suke dijadualkan bermula tahun depan selepas proses pengambilan tanah selesai. Memang terdapat bantahan daripada sesetengah pihak hingga ada yang membawa bantahan ke peringkat mahkamah.

"Bagaimanapun, pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah maklumkan dalam mesyuarat tadi bahawa mereka akan teruskan projek itu dengan mengambil kira masalah rakyat tempatan...kita harap bila lebuh raya ini siap, ia akan bantu kurangkan kesesakan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor di sini, Selasa.

Sebelum ini, beberapa pihak daripada parti politik dan badan bukan kerajaan menyuarakan bantahan kepada kerajaan Selangor berhubung rancangan pembinaan Dash dan Suke selain menuntutnya supaya membatalkan sebarang rancangan untuk membina lebuh raya baharu.

Noh berkata selain Dash dan Suke, Kerajaan Persekutuan bakal membina Lebuhraya Putrajaya-KLIA (MEX2) tahun depan dan sedang melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

Noh, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) turut memperuntuk RM116 juta untuk melaksanakan 27 projek di negeri ini.

Antara projek yang akan dan sedang dilaksanakan di Selangor ialah pembinaan lampu jalan kampung, pembinaan jalan-jalan di luar bandar, bantuan membaiki rumah dan pembinaan rumah baharu serta bantuan kepada orang asli.

"Kita jangka semua projek ini akan selesai dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini. Komitmen ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat Selangor walaupun negeri ini ditadbir pembangkang," katanya.
Dash, Suke, Tan Sri Noh Omar

Artikel Lain