suria

Pelajar Diberi Amaran Tidak Sokong Kegiatan IS

- Gambar hiasan
MELAKA: Pelajar yang belajar di universiti dan kolej di negeri ini akan digantung serta-merta jika didapati menyokong kegiatan berkaitan militan Negara Islam (IS).

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin berkata pihak berkuasa berkaitan kini sedang memantau rapat semua pelajar di negeri ini, terutama yang ditaja oleh kerajaan negeri.

"Nasihat saya beri tumpuan kepada pelajaran atau tinggalkan pengajian jika anda memilih untuk menyokong kumpulan militan.

"Kami sedang memerhatikan setiap pergerakan anda. Kami akan menahan anda jika terdapat sebarang perubahan drastik dalam sikap, cara anda bergaul dengan rakan-rakan dan corak anda melayari internet," katanya ketika dihubungi.

Md Yunos berkata kerajaan negeri melihat ancaman IS sebagai 'sangat serius' dan tidak akan mengambil sebarang risiko berkaitan perkara ini.

Beliau berkata program anti-keganasan sedang dijalankan di mana para pelajar diingatkan bahawa tindakan keganasan tidak boleh diterima dalam Islam.

"Kami akan bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan semua agensi untuk menangani isu ini dan memastikan bahawa pelajar-pelajar kita tidak menyokong sebarang aktiviti berkaitan IS," katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri sedar tentang mesej WhatsApp bahawa IS menyasarkan kawasan tumpuan pelancong dan pusat-pusat hiburan di sini.

"Tidak kiralah sama ada mesej tersebut tulen atau palsu. Keselamatan akan dipertingkatkan," katanya.

Beliau menggesa ketua kampung dan ahli jawatankuasa persatuan penduduk untuk membantu pihak berkuasa menangani ancaman IS dengan memeriksa latar belakang penduduk, terutama orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan dan kampung-kampung.

Beberapa penyokong yang menyokong IS telah dikenal pasti di Melaka, termasuk penjawat awam, diletakkan di bawah pemerhatian.

Negeri ini juga menjadi perhatian apabila Muhamad Wanndy Muhamad Jedi dari Durian Tunggal menyertai kumpulan militan yang berjuang di Syria.

Di Putrajaya, Kementerian Pengajian Tinggi berkata pihaknya akan berusaha menghalang penyerapan ideologi IS di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mesyuarat dengan semua naib canselor akan diadakan untuk memastikan mereka memahami realiti ini.

"Keadaan ini adalah kritikal dan tindakan segera perlu diambil. Kita juga perlu mengetatkan pemeriksaan terhadap mereka yang masuk ke universiti," katanya.

militan IS, kegiatan IS, ideologi IS

Artikel Sebelum

'Bau Ayam' Selamatkan Nyawa

Artikel Berikut

Artikel Lain