suria

Masjid Jamek Abdullah Hukum, Dibina Atas Bangunan Letak Kereta

KUALA LUMPUR: Masjid Jamek Abdullah Hukum,  satu-satunya masjid di ibu negara yang dibina atas bangunan letak kereta bertingkat di KL Eco City, akan dibuka kepada orang awam pada 31 Julai.

Masjid dua tingkat berwarna putih ini, dibina atas bangunan pakir kereta setinggi tujuh tingkat di satu daripada kawasan pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersial bersepadu terbesar di Lembah Klang yang dibangunkan SP Setia Bhd.

Pengarah projek KL Eco City, Awang Ahmad Kari berkata ia merupakan  satu-satunya masjid yang dibina di lokasi sedemikian dan masjid berukuran 1,207.73 meter persegi itu boleh menampung sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

"Ia juga mempunyai 700 ruang letak kereta, jadi memudahkan orang ramai yang mahu mengerjakan solat Jumaat atau untuk acara khas seperti majlis perkahwinan yang diadakan di masjid itu," katanya kepada Bernama di sini.

Awang Ahmad berkata menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), masjid baharu itu akan turut menempatkan sementara pejabat pentadbiran Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar Baru, yang ditutup untuk pengubahsuaian.

"Kami dalam proses untuk menyiapkan masjid ini, jadi ia boleh diserahkan kepada Jawi dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Awang Ahmad berkata masjid itu kini telah 90 peratus siap.

Selaras dengan tema KL Eco City yang berkonsepkan pembangunan hijau, masjid itu direka dengan menyediakan kemudahan pengaliran udara semula jadi serta dikelilingi rekaan landskap yang menghijau.

KL Eco City, yang kini sedang dibangunkan di kawasan seluas 10 hektar di tapak bekas Kampung Haji Abdullah Hukum, adalah satu daripada projek pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersial bersepadu terbesar di negara ini.

Projek bernilai RM7 bilion itu, yang merupakan pembangunan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, bermula sejak 2011 dan dijadual siap sepenuhnya pada 2023.

Masjid Jamek

Artikel Berikut

'Bau Ayam' Selamatkan Nyawa

Artikel Lain