suria

Anak Jati Pulau Pinang Desak Guan Eng Letak Jawatan

Seorang anak jati Pulau Pinang, Ahmad Yakqub Nazri memberi kenyataan kepada media selepas mengadakan demonstrasi aman mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng meletak jawatan di hadapan pintu masuk Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada Jumaat. Foto: Bernama

GEORGE TOWN: Sekumpulan 30 orang anak jati Pulau Pinang berkumpul di hadapan bangunan Komtar yang menempatkan pejabat Ketua Menteri, bagi mendesak Lim Guan Eng berundur.

Ahmad Yakqub Nazri, 34, yang mewakili kumpulan individu itu berkata Lim perlu meletak jawatan berikutan berhadapan dengan kes rasuah melibatkan pembelian banglo.  

"Kerajaan negeri yang ada sekarang adalah kerajaan talam dua muka. Ketua menteri boleh duduk di banglo yang berjuta-juta ringgit sedangkan tidak ada projek kerajaan negeri yang membina rumah rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi di pintu masuk hadapan Komtar di sini.

"Saya bercakap mewakili generasi muda...bagaimana anak-anak muda yang bekerja dengan gaji RM2,000 atau RM1,500 hendak beli rumah di Pulau Pinang,"katanya.

Mengenai cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri, Ahmad Yakqub yang juga ahli perniagaan berkata ia hanya bertujuan menunjukkan Lim masih mempunyai sokongan rakyat sekiranya menang pilihan raya itu.

Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.     

Turut didakwa ialah bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama. -Bernama

Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Artikel Lain