suria

Gencatan Serangan: Bukan Pendirian PAS, Hanya Idea Tuan Ibrahim

KOTA BARU: Cadangan supaya parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi tumpuan kepada 'musuh sebenar' bukan pendirian PAS sebaliknya hanya lontaran idea daripada timbalan presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Demikian kata setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan parti itu tidak pernah membincangkan perkara itu dan sesuatu pendirian parti perlu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau wakil yang diamanahkannya.

"Bagaimanapun, lontaran idea daripada timbalan presiden itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik yang akan diadakan di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, Ahad ini.

"Kita akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara berkenaan selepas mesyuarat tersebut," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Takiyuddin mengulas kenyataan Tuan Ibrahim dalam laman akaun Facebook miliknya semalam supaya parti-parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar, Umno-Barisan Nasional.

Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya parti pembangkang mencari titik kompromi, yang katanya tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain.

Berikutan kenyataan Tuan Ibrahim itu, Takiyuddin berkata ramai anggota PAS  meminta pengesahan sama ada ia merupakan pendirian parti itu.

Di KUALA TERENGGANU, Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahri Mamat berkata PAS masih lagi dalam proses memperkasakan blok ketiga pembangkang yang kini melibatkan parti itu dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

"PAS tiada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara. PAS tetap dengan dasar dan prinsip perjuangannya, semoga pihak lain memahami dan menghormatinya," kata beliau.

Pada masa ini, PAS masih menjalin kerjasama dengan PKR.

PAS, PKR, DAP, Amanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain