suria

Penghuni Apartmen Digesa Beri Kerjasama Pengumpulan Statistik

- Gambar hiasan
SHAH ALAM: Penghuni di kawasan bandar terutama yang tinggal di apartmen mewah diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Perangkaan yang menjalankan penyelidikan dan analisis.

Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial/Demografi), Jabatan Perangkaan, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini bagi membolehkan pihaknya membuat kesimpulan yang dapat memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan.

Beliau berkata penduduk di kawasan apartmen dilihat kurang memberi kerjasama kepada Jabatan Perangkaan untuk mengumpul statistik disebabkan lebih mementingkan aspek privasi.

"Ada antara penduduk apartmen mewah lebih mementingkan privasi dan pihak pengawal apartmen pula tidak membenarkan pegawai Jabatan Perangkaan menjalankan kaji selidik.

"Justeru, kami terpaksa menggunakan kaedah pujuk termasuk mengadakan perjumpaan dengan pengurusan apartmen bagi tujuan memujuk penghuni memberikan kerjasama kepada Jabatan Perangkaan bagi pengumpulan statistik," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Jabatan Perangkaan Selangor di sini, Rabu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor, Ibrahim Jantan.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata pengumpulan statistik itu penting bagi membantu kerajaan membuat perancangan betul yang memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan dengan memastikan pertumbuhan pendapatan dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata kekangan dan cabaran yang dihadapi Jabatan Perangkaan dalam mengumpul statistik daripada penghuni apartmen juga selaras dengan perkembangan urbanisasi di negara ini di mana Bancian Penduduk 2010 menunjukkan sejumlah 79 peratus daripada penduduk negara ini menetap di bandar.

Ini, katanya, sangat berbeza jika dibandingkan pada tahun 1970-an dengan 80 peratus penduduk Malaysia adalah dari luar bandar.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Jabatan Perangkaan sedang menjalankan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/HES) 2016/2017 bagi tujuan input kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang melibatkan secara keseluruhan 85,000 tempat kediaman termasuk 9,000 di Selangor.

Katanya kaji selidik itu yang dikendalikan sejak 1974, pertama kali dilakukan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 dan pihaknya akan membuat perbandingan corak perbelanjaan masyarakat sebelum dan selepas pelaksanaan cukai tersebut.

"Umpamanya kami mahu melihat sama ada terdapat pengurangan kepada perbelanjaan yang dikenakan GST dan bukan GST," katanya.

Mengikut laporan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah yang diterbitkan pada 2014, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median pendapatan bulanan isi rumah tertinggi iaitu RM7,620, diikuti Putrajaya (RM7,512) dan Selangor (RM6,214).

Artikel Berikut

Artikel Lain