suria

Azalina Ke BHEUU, Nancy Selia AIM, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia Dan MIGHT

Datuk Seri Azalina Othman Said
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkuat kuasa 28 Jun lepas.

Menurut kenyataan BHEUU pada Khamis, Azalina akan menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang sebelum ini, susulan penyusunan semula portfolio JPM baru-baru ini.

"Pihak kami berbesar hati menerima kehadiran Azalina dan percaya dengan kepimpinan beliau, BHEUU akan terus memainkan peranan penting dalam hal ehwal perundangan negara.

"Sebagai menteri yang berkelulusan undang-undang dan juga selaku pengamal undang-undang lebih 25 tahun, kami yakin Azalina akan memberi sentuhan dan idea baru dalam mencapai misi, visi dan objektif BHEUU," menurut BHEUU di sini.

Susulan penyusunan semula portfolio, Nancy akan menyelia Agensi Inovasi Malaysia, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dan Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) berkuat kuasa 28 Jun.

Nancy juga akan bertanggungjawab ke atas agensi di bawah beliau sebelum ini iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

BHEUU turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Nancy Shukri yang memberi dorongan dan sokongan penuh serta nasihat terhadap BHEUU dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

"Kehadiran Nancy mulai 16 Mei hingga 28 Jun sangat berharga kepada kami semua dalam menentukan hala tuju organisasi kami," katanya.

Nancy sebelum ini merupakan Menteri yang bertanggungjawab ke atas BHEUU, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Bahagian Perlindungan, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Beliau juga bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Undang-Undang yang melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kini semua agensi berkenaan akan dipegang Azalina.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini Nancy berkata upacara serah tugas dijangka diadakan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri BHEUU pada 26 Julai ini.

Nancy turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dalam agensi hal ehwal undang-undang yang bekerjasama dengan beliau.

"Saya berharap untuk bekerja dengan petugas di bawah portfolio baharu saya.Ia jauh berbeza daripada agensi yang pernah saya kendalikan, berurusan dalam hal perundangan.


"Dalam portfolio baharu saya, saya akan memberi tumpuan terhadap inovasi dan pemain-pemain industri daripada pelbagai sektor dalam pelbagai aspek. Saya belum bertemu dengan pegawai-pegawai untuk memberi taklimat kepada saya mengenai aktiviti mereka," katanya.


Menurut Nancy, beliau yakin bahawa agensi berkenaan menarik untuk diterokai dan bertemu mereka daripada bidang yang berbeza.

Artikel Berikut

Artikel Lain