suria

Mangsa Culik Hubungi Majikan, Kumpulan Penculik Minta Wang Tebusan

TAWAU: Seorang daripada tiga rakyat Indonesia yang diculik lima lelaki bersenjata di perairan Felda Sahabat, Sabtu lepas, telah menghubungi majikannya dan memberitahu kumpulan penculik terbabit meminta wang tebusan. 

Ketua Perwakilan Republik Indonesia di Tawau, Abdul Fatah Zainal berkata mangsa culik itu telah menghubungi majikannya yang berada di Lahad Datu, kurang 24 jam selepas mereka diculik.

"Panggilan telefon itu kita belum dapat sahkan sejauh mana kebenarannya, sama ada ia milik penculik atau orang lain. Namun yang pasti nombor telefon yang digunakan dari Filipina," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.  

Abdul Fatah berkata kerajaan Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia akan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan ketiga-tiga mangsa culik itu yang dikenali sebagai Lorence Koten, 34, Teo Dorus Kopong, 42, dan Emanuel, 46. 

"Ketiga-tiga mereka (mangsa culik) belum sampai setahun berada di negeri ini dan mereka bekerja sebagai nelayan di Lahad Datu," katanya.

Ketiga-tiga mangsa itu diculik ketika menangkap ikan di perairan Felda Sahabat, Lahad Datu pada 11.40 malam Sabtu lepas, manakala empat lagi rakan sekerja mereka yang turut berada di kapal pukat tunda berkenaan dibebaskan.

Sementara itu, Abdul Fatah mengingatkan rakyat Indonesia yang berada di negeri ini agar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan khususnya di Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone). 

"Selain itu, mereka (rakyat Indonesia) juga perlu meningkatkan tahap kewaspadaan di mana sahaja mereka berada. Jangan melakukan perjalanan ke Selatan Filipina khususnya ke wilayah Tawi-Tawi, Sulu dan Jolo bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.-Bernama

Penculik, tebusan, wang

Artikel Lain