suria

Tindakan Tegas Terhadap Pengeluar, Pengedar Akhbar Daesh

Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengenakan tindakan tegas kepada pengeluar dan pengedar akhbar berbahasa Melayu dipercayai terbitan Daesh kerana haram di sisi undang-undang. 

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka (pengeluar dan pengedar). 

"Kami (KDN) akan mengenalpasti pengeluar dan pengedar terlebih dahulu bagimendapat maklumat dari mana mereka mendapatkan akhbar tersebut untuk diedar di negara ini. 

"Akhbar ini tidak mungkin diimpot kerana Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memantau segala bentuk penerbitan yang masuk ke Malaysia. 

"Maka kami akan siasat pengedaran sama ada dalam bentuk penerbitan atau muat turun di internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Beliau mengulas laporan media tempatan  mengenai tindakan kumpulan pengganas Daesh memperluaskan usaha menarik pengikut baharu menerusi penyebaran dakyah sesat itu di negara ini, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Filipina dan selatan Thailand menerusi akhbar tersebut.  

Akhbar keluaran pertama setebal 20 muka surat itu dilancarkan di selatan Filipina pada 20 Jun lepas sebelum kandungannya disebarkan secara dalam talian dan media sosial. 

Nur Jazlan berkata mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 kerana tidak mempunyai lesen mesin cetak atau permit penerbitan.

Katanya, penerbitan seumpama itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat namun memudaratkan keselamatan dan menggugat keharmonian negara.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun meminta KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat penyebaran akhbar itu secara atas talian supaya tidak boleh diakses rakyat di negara ini. 

Beliau berkata siasatan PDRM setakat ini mengesyaki sebuah laman Facebook dan Twitter yang memuat naik risalah itu beroperasi di Filipina yang dipercayai diuruskan warga Indonesia dan Malaysia.  

"PDRM meminta kerjasama pihak negara berkaitan supaya menyalurkan maklumat bagi mengesan mereka yang mendalangi kegiatan itu," katanya.

Mohamad Fuzi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan Daesh dan akan mengesan mereka yang terlibat. 

Beliau berkata polis sentiasa memantau media sosial kendalian kumpulan militan itu yang bertujuan menyebarkan dakyah sesat mereka.  -Bernama

Daesh, Pengedar Akhbar Daesh

Artikel Lain