suria

Pemilik Rayani Air Mohon Maaf Kepada Pekerja, Pelanggan

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran tampil memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket seperti yang telah dijanjikan.

"Kami mohon kemaafan kepada semua pelanggan dan pekerja kerana masih tidak mampu membuat bayaran," kata Ravi kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat.

Ravi berkata demikian bagi merujuk kepada masalah yang dihadapi syarikat itu untuk membuat bayaran balik ke atas tiket penerbangan penumpang dan melunaskan tunggakan gaji 415 kakitangannya, walaupun telah mencuba sedaya-upaya.

Sebelum ini, Ravi memberi jaminan untuk menyelesaikan isu bayaran membabitkan pelanggan dan pekerja syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun sehingga 1 Syawal, ia sekadar janji tinggal janji apabila tiada bayaran dibuat kepada kedua-dua pihak, malah terdapat dakwaan sebahagian pelanggan diberikan cek tendang untuk bayaran balik tambang.

Ravi berkata, penarikan balik lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke dalam syarikat penerbangan itu.

Jelasnya, dengan penarikan balik lesen-lesen berkenaan, tiada pelabur yang mahu memberi kerjasama.

"Dengan penarikan balik lesen-lesen tersebut, pihak pelabur yang telah memberikan komitmen untuk memasukkan dana pada 30 Jun 2016 bagi menyelesaikan bayaran balik telah menarik diri di luar jangkaan kami," ujar Ravi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air.

Bagaimanapun Ravi berkata, pihaknya sedang berusaha keras dengan membuat rayuan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya memberi peluang kedua kepada Rayani Air untuk beroperasi kembali.

"Dengan peluang kedua ini, pelabur akan mengambil alih pemilikan syarikat dengan pasukan pengurusan baharu yang lebih baik," katanya.

Merujuk kepada pelanggan, Ravi berkata, pihaknya tidak dapat menjanjikan tarikh pembayaran dilaksanakan, tetapi keutamaan mereka akan diberikan menerusi usaha syarikat mencari jalan penyelesaian.

"Diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan bersabar dan tidak datang ke pejabat kerana pejabat kami tutup dalam masa terdekat ini.

"Kami akan membuat pengumuman rasmi sebaik mendapat berita positif," kata Ravi.

Pada 13 Jun lalu, DCA bersama Mavcom membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan itu sekali gus Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Ia susulan penggantungan sementara operasi Rayani Air yang diputuskan DCA pada 11 April, berikutan beberapa masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu yang baharu beroperasi sejak Disember tahun lalu.

Rayani Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain