suria

Kedah Umum Cuti Peristiwa Pada Ahad Jika Aidilfitri Disambut Rabu

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan cuti peristiwa  kepada penjawat awam di negeri ini pada Ahad (10 Julai) sekiranya Aidilfitri disambut pada Rabu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Ahad.

Beliau berkata cuti tersebut bagi memberi peluang kepada penjawat awam di negeri ini untuk bersama keluarga masing-masing menyambut Aidilfitri sebelum kembali berkerja pada 11 Julai (Isnin).

"Mereka juga boleh mengatur jadual perjalanan mereka untuk sampai ke destinasi dengan selamat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini.

Ini merupakan mesyuarat Exco pertama dipengerusikan Ahmad Bashah selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 23 Jun lalu selepas menjalani rawatan selama 18 hari di hospital berkenaan.

Sementara itu mengulas keadaan kesihatannya selepas menjalani pembedahan usus pada 6 Jun lalu, Ahmad Bashah berkata kesihatannya amat baik dan doktor yang merawatnya membenarkannya untuk bertugas seperti biasa.

Beliau turut dinasihatkan oleh doktor untuk menjaga pemakanan selain mendapatkan rehat yang cukup.

"Terima kasih kepada rakan-rakan dan rakyat negeri ini yang mendoakan kesihatan saya dan kini saya boleh kembali menjalankan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya bersama kepimpinan kerajaan negeri akan menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar. Marilah kita bersama-sama pupuk permuafakatan bagi memastikan negeri ini terus maju pada masa depan," katanya.

Aidilfitri, Cuti Peristiwa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain