suria

Suami Isteri, Anak Saudara Maut Dalam Nahas Di Pekan

KUANTAN: Sepasang suami isteri dan anak saudara mereka maut apabila kereta Naza Sutera mereka bertembung dengan sebuah kereta di Km 10, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin dekat Sungai Miang, Pekan pagi Jumaat.

Dalam kejadian 11 pagi itu mangsa Ruslan Musa, 42, dan Suhanna Salleh, 36, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudara Suhanna, Nurul Aliya Nafeesa Arman Shah yang berusia 54 hari meninggal dalam perjalanan ke Hospital Pekan.

Dua lagi penumpang kereta itu iaitu Nurul Firdaos Abdullah, 28, dan Nur Aieshah Qalysha Ruslan, 7, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata berdasarkan siasatan awal, kereta Proton Preve yang dipandu seorang guru terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu Ruslan.

Beliau berkata guru tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

maut, kemalangan, Pekan

Artikel Lain