suria

Tentera Filipina Sahkan Penculikan Rakyat Indonesia

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi
MANILA: Dua hari selepas pihak berkuasa Indonesia melaporkan tentang penculikan tujuh pelaut mereka oleh pengganas Filipina di Laut Sulu, Angkatan Tentera Filipina akhirnya mengesahkan kejadian itu.

Jurucakap Angkatan Tentera Briged Jeneral Restituto Padilla berkata Komando Mindanao Barat, yang mempunyai bidang kuasa ke atas kawasan itu, melaporkan bahawa tujuh daripada 13 warga Indonesia, termasuk kapten bot, telah diculik daripada sebuah tongkang pada 22 Jun, jam 11 pagi di Laut Sulu.

"Maklumat yang diterima mencadangkan mangsa culik mungkin ditahan di suatu tempat tawanan di Sulu," kata Padilla.

Abu Sayyaf telah menahan 17 anak kapal Indonesia yang lain dalam kejadian berasingan pada Mac dan April. Bagaimanapun mereka telah dibebaskan. Beberapa rakyat Malaysia turut diculik.

Indonesia, pada Jumaat mengumumkan untuk menghentikan penghantaran arang batu ke Filipina sehingga Manila dapat menjamin keselamatan perairannya.

"Moratorium ke atas eksport arang batu ke Filipina akan dilanjutkan sehingga ada jaminan keselamatan daripada kerajaan Filipina," kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi kepada pemberita.

Sementara itu, Reuters melaporkan telah melihat video 20 minit di mana seorang lelaki yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai Mohd Rafi Udin, militan Malaysia yang berada di Syria, bercakap dalam bahasa Melayu: "Jika anda tidak boleh pergi ke Syria, sertai dan pergi ke filipina. "

Dalam video itu, Udin menggesa umat Islam bersatu di bawah pimpinan Abu Abdullah, juga dikenali sebagai Isnilon Hapilon, seorang pemimpin Abu Sayyaf, yang mengikrarkan taat setia kepada Negara Islam pada Januari. Philippine Daily Inquirer / Asia News Network
Abu Sayyaf, kes culik

Artikel Lain