suria

Muhyiddin Dah Duga Akan Dipecat, Tak Akan Rayu

PETALING JAYA: Mengakui sudah menduga Umno Umno akan memecatnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada Jumaat.

Kenyataan yang diakhiri dengan ucapan 'Selamat Tinggal Umno, Kepada Allah Saya Berserah', bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun menganggap pemecatannya bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan.

Beliau juga menegaskan, dirinya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati Umno.

"Kini berakhirlah sejarah panjang hidup saya selama empat dekad dalam Umno.

"Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan kerana Umno telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri," katanya seperti mana yang dimuatnaik menerusi laman Facebook beliau petang Sabtu.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga memberitahu, beliau reda dengan apa yang berlaku kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Umno.

Malahan, beliau juga memberi jaminan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa sebelum ini.

Muhyiddin juga menolak tanggapan pihak tertentu bahawa perjuangannya telah berkubur susulan pemecatannya daripada Umno.

"Jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.

"Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala," katanya.

Selain itu, kepada penyokongnya, Muhyiddin meminta mereka meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air ini.

"Kepada penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini," katanya.

Pada mesyuarat MT Umno pada Jumaat, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Umno memecat Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung keahliannya.

Tindakan itu diambil MT Umno kerana berpendapat pemimpin terlibat mengkritik kepimpinan parti, sekali gus melanggar disiplin, lebih-lebih lagi apabila berada di pentas bersama-sama pemimpin pembangkang membuat ucapan dan menyerang pimpinan dan parti.


Artikel Lain