suria

Isu Slaid Titas UTM: Jawatankuasa Bebas Serah Laporan Seminggu Lagi

PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa bebas luar dijangka memberikan laporan siasatan terhadap pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terlibat dalam slaid subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, dalam tempoh seminggu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata jawatankuasa yang dianggotai pakar subjek Titas itu turut diminta membuat keputusan mengenai kesesuaian laras bahasa yang digunakan oleh pensyarah berkenaan.

Pakar tersebut terdiri daripada Prof Zaid Ahmad dan Prof Madya Dr Sarjit Singh Darshan Singh daripada Universiti Putra Malaysia dan Prof Dr M. Rajantheran daripada Universiti Malaya, katanya.

"Jawatankuasa itu dijangka memberikan hasil penilaian dan laporan mereka dalam tempoh seminggu termasuk cadangan tindakan yang wajar diambil

"Proses mengambil tindakan, termasuk tindakan tatatertib ataupun yang berkaitan akan ditentukan oleh UTM kerana merupakan sebahagian daripada kuasa autonomi universiti tersebut," kata KPT dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menurut kenyataan itu, semua maklumat yang diperolehi oleh jawatankuasa siasatan dalaman UTM daripada pensyarah terbabit telah diserahkan kepada jawatankuasa bebas luar itu.

Jawatankuasa siasatan dalaman UTM mendapati pensyarah yang terlibat merupakan kakitangan akademik berstatus kontrak, katanya.

"Pensyarah tersebut telah diminta memberi penjelasan mengenai kandungan dan bahan rujukan yang digunakan untuk slaid Titas tersebut, termasuk buku-buku dan rujukan yang digunakan untuk menyokong kredibiliti kandungan," katanya.

Menurut KPT, kementerian juga mengambil maklum bahawa Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ir Wahid Omar telah mengeluarkan permohonan maaf tanpa syarat berhubung kes itu.

"Kementerian mengutuk keras apa yang telah berlaku. Peranan pendidikan tinggi adalah untuk menggalakkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum-kaum di Malaysia.

"Integriti akademik dan integriti ahli akademia merupakan pegangan yang penting kepada kementerian," kata KPT.

Slaid pembentangan subjek Titas yang memberi fakta salah mengenai agama Hindu dan Sikh telah membangkitkan kemarahan masyarakat selepas diviralkan di laman sosial baru-baru ini.

Modul subjek Titas adalah wajib bagi semua pelajar pengajian tinggi tanpa mengira agama sejak 2013.

utm

Artikel Lain