suria

Lapor Jabatan Kesihatan, PBT Jika Peniaga Jual Makanan Basi

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Orang ramai diminta membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bukannya di media sosial sekiranya terdapat peniaga menjual makanan basi di Bazar Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Datuk Muhammad Pehemi Yusof ketika memberikan nasihat itu berkata, aduan rasmi perlu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit. 

"Ada pengadu hanya menggunakan media sosial untuk meluahkan perkara tersebut sedangkan cara ini kurang tepat.

"Apabila berasa makanan itu basi, perlu dapatkan rawatan di klinik kesihatan dan kemudiannya buat laporan mengikut prosedur agar tindakan segera boleh diambil bagi mengelak perkara itu berulang di masa depan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Baru-baru ini, segelintir penduduk di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu mendakwa peniaga di Bazar Ramadan menjual makanan yang telah basi dan perkara itu menjadi viral di laman sosial. - Bernama

bazar Ramadan

Artikel Lain