PDRM Lancar Pelan Integriti 2016-2020 - Semasa | mStar

PDRM Lancar Pelan Integriti 2016-2020

Khalid melihat isi kandungan buku manual pematuhan standard semasa merasmikan Buku Manual Pematuhan Standard, Kod Etika PDRM dan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 pada Selasa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa melancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu.

Khalid berkata penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.

"Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.

"Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu-isu salah laku atau rasuah tetapi ia turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta pelancaran buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di Bukit Aman, di sini, Selasa.

Khalid berkata pelan berkenaan mengandungi enam elemen nilai teras iaitu sifat integriti itu sendiri, bermoral, beretika, keagamaan, kerohanian dan profesionalisme.

"Keenam-enam elemen ini adalah seiring bagi memberi sinergi bagi meningkatkan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM," katanya.

Khalid berkata ke arah mencapai sasaran itu juga, pihaknya turut memeterai kerjasama strategik dengan tiga agensi, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Arkib Negara menerusi pelaksanaan pelbagai program.

"Menerusi usaha sama dengan SPRM, kami akan berkongsi kepakaran dan maklumat dalam aspek operasi, pencegahan dan latihan selain program meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah.

"Usaha sama dengan IIM pula membabitkan program latihan di samping kajian penyelidikan meliputi kajian keberkesanan untuk melihat hasil program atau aktiviti yang dilaksanakan. Kajian pembangunan juga akan dilakukan dalam membantu meningkatkan integriti dan produktiviti warga pasukan," katanya.- BERNAMA

pelan integriti , PDRM

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain