suria

Kerajaan Persekutuan Sanggup Ubah Dasar Demi Bantu Rakyat Kelantan

Perdana Menteri beramah mesra bersama penerima-penerima kunci rumah kekal baharu (RKB) mangsa banjir pada majlis penyerahan di Kampung Staponal Batu Jong di kawasan Dewan Undangan Negeri Mengkebang sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan, Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA KRAI: Kerajaan Persekutuan sanggup mengubah dasarnya demi membantu rakyat Kelantan yang mengalami penderitaan dalam kejadian banjir 2014 lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang, kerajaan persekutuan sanggup membina rumah kekal berharga RM65,000 sebuah untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam bencana alam tersebut.

Berucap pada pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong di sini, pada Ahad, Najib berkata oleh kerana tanah menjadi masalah untuk pembinaan rumah tersebut, kerajaan persekutuan sanggup membeli tanah milik individu dan swasta.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi BN Kelantan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Kerajaan Persekutuan dipertangungjawabkan untuk membina sebanyak 1,804 buah rumah iaitu 844 buah rumah telah siap manakala 243 masih dalam pembinaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi komitmen tinggi untuk membina baki rumah yang belum dibina supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Kelewatan dalam menyiapkan rumah kekal kepada mangsa banjir adalah berpunca daripada masalah pemilikan tanah untuk dijadikan tapak rumah tersebut sehingga kerajaan terpaksa membeli tanah individu dan swasta," katanya.

Najib berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar berdasarkan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada negeri itu.

Pada majlis itu, seramai 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai menerima rumah kekal masing-masing.

Seorang penerima, Mazuin Mohd Zin, 31, berkata keluarganya telah lama menunggu untuk mendiami rumah baharu selepas kejadian banjir 2014 dan hari ini berasa gembira hasrat itu tercapai.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang tampil menyerahkan kunci rumah kepada kami pada hari ini," katanya yang akan mendiami rumah itu bersama suami dan empat orang anak.

Rokiah Yaakob, 63, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pelbagai pihak yang membantu keluarganya yang ditimpa kesusahan akibat bencana alam tersebut.

"Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal dalam khemah dan kemudian dalam rumah kontena tetapi sekarang saya gembira kerana sudah memiliki rumah kekal," katanya.

Najib Tun Razak

Artikel Lain