suria

Jari Telunjuk Kiri Tersepit Spanar

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berdepan detik cemas dan menahan sakit beberapa jam selepas spanar tersepit di jari telunjuk kirinya ketika sedang membaiki basikalnya di Taman Nilam Baiduri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata ibu bapa kanak-kanak itu membawanya ke balai bomba tersebut kira-kira pukul 10 pagi Sabtu selepas mereka gagal menarik keluar spanar berkenaan.

"Mereka menggunakan minyak zaitun dan mencuba pelbagai cara tetapi masih gagal menarik keluar spanar itu. Mereka akhirnya datang ke sini apabila jari kanak-kanak itu mula membengkak dan kemerahan.

"Dua pegawai saya menggunakan alat pemotong dan berjaya menanggalkan spanar tersebut dalam masa tiga minit," katanya.

Mohd Azizi berkata kanak-kanak lelaki itu tersenyum sejurus spanar itu berjaya dikeluarkan.

"Ibu bapa mangsa mengambil langkah tepat dengan membawa mangsa ke balai bomba kerana kes sebegini tidak diuruskan di hospital," katanya.

Difahamkan kanak-kanak lelaki itu sedang membaiki basikal apabila secara tidak sengaja termasuk jari terlunjuknya pada spanar tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi selepas kanak-kanak itu bersahur bersama ahli keluarganya.

Artikel Lain