suria

Tiada Laporan Rakyat Malaysia Terlibat Insiden Tembakan Orlando - Wisma Putra

Jambangan bunga sebagai tanda penghormatan kepada mangsa insiden tembakan, diletakkan di papan tanda Pusat Perubatan Orlando dekat kelab malam Pulse di Orlando, Florida. Foto AFP

PUTRAJAYA: Kementerian Luar pada Isnin berkata, tiada laporan menyatakan rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan di bandar raya Orlando, Amerika Syarikat, yang mengorbankan 50 orang.

"Laporan awal menyatakan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu," kata kementerian dalam kenyataan di sini. 

Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tembakan itu, yang turut mencederakan 53 orang lagi.

"Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Amerika Syarikat, terutamanya kepada keluarga mangsa yang terlibat," kata Wisma Putra. 

Menurut kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Washington akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di Florida untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden itu.

Seorang lelaki menembak mati 50 orang dan mencederakan 53 yang lain di sebuah kelab malam gay di Orlando pada awal Ahad, dengan pihak berkuasa menganggapnya sebagai insiden tembakan terburuk di Amerika Syarikat sejak serangan 11 September 2001. - Bernama 

Artikel Berikut

Artikel Lain