suria

Polis P.Pinang Bongkar Makmal Dadah Bernilai RM1.2 Juta

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal dadah dan menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dadah bernilai RM1.2 juta di sebuah pangsapuri di Sungai Ara, Isnin lepas.

Dalam operasi itu, polis telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk 3,838 pil ecstasy, 8.7 kilogram serbuk ecstasy, 300 gram ketamin, 75 gram kafeina, 105 gram syabu, ganja, 75 kilogram serbuk kafeina dan peralatan pemprosesan dadah dalam unit pangsapuri yang dijadikan makmal.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata pasangan suami isteri yang berusia 31 dan 35 tahun ini dipercayai telah menjalankan aktiviti  haram itu selama hampir setahun yang lepas.

"Operasi itu dijalankan berikutan penahanan lelaki tersebut kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 12.5g di kawasan Relau pada jam 3 pagi hari yang sama  dan selepas disoal siasat, suspek telah membawa pihak polis ke rumahnya di mana polis telah merampas semua dadah-dadah tersebut," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Semasa operasi itu dijalankan, Thaiveegan berkata polis juga menahan kanak-kanak namun mereka telah dibebaskan dan diserahkan kepada anggota keluarga terdekat.

"Siasatan awal polis telah menunjukkan bahawa dadah tersebut adalah untuk pengedaran pasaran tempatan dan pasangan yang tidak ada pekerjaan itu akan  direman sehingga 6 Jun bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung madatori sekiranya disabitkan bersalah.

Katanya, pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan dengan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Thaiveegan juga berkata, setakat bulan Mei, polis telah merampas dadah bernilai RM7.7 juta dan telah menahan lebih dari 7,000 orang yang terlibat.

"Kami menyeru kepada masyarakat supaya sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk menumpaskan kegiatan dadah dalam negara ini," katanya. - BERNAMA

makmal dadah, A.Thaiveegan, PDRM

Artikel Lain