suria

29 Borang Pencalonan Dibeli Menjelang Dua Penamaan Calon Esok

Petugas pilihan raya Wan Samsuhaida Samsudin (kiri) dan Halizul Abd Halim membuat persiapan akhir antaranya memasang 'back drop' di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu. -fotoBERNAMA

SABAK BERNAM: Sebanyak 29 borang pencalonan telah dibeli setakat petang Sabtu menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Ahad.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16 borang dibeli untuk penamaan calon PRK  Kuala Kangsar di Perak dan 13 borang untuk PRK Sungai Besar di Selangor.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah,  yang mengesahkan perkara itu, berkata SPR bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan penamaan calon di kedua-dua kawasan parlimen berkenaan.

"Borang yang dibeli ini memang banyak sebab borang ini tidak mahal...kalau semua hantar masuk (pencalonan), tak tahu panjang manalah kertas undi," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan di pusat penamaan calon PRK Sungai Besar di Dewan Seri Bernam di sini, Sabtu.

Mohd Hashim bagaimanapun meminta calon daripada parti yang bertanding supaya memastikan kertas pencalonan diisi dengan lengkap serta datang awal di pusat penamaan calon.

"Kita jangkakan kesesakan jalan raya pada Ahad. Kita bimbang calon-calon tidak dapat sampai pada waktu yang ditetapkan kerana pusat penamaan calon dibuka dari 9 hingga 10 pagi sahaja," katanya.

Beliau turut meminta para penyokong supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak melakukan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian dan keselamatan awam.

Dalam pada itu, Mohd Hashim meminta semua parti yang bertanding supaya berkempen secara berhemah bagi menghormati Ramadan.

Ditanya mengenai aktiviti kempen yang dilakukan sebelum penamaan calon selesai, beliau berkata ia berpunca daripada penggunaan media sosial.

"Dalam media sosial, sebelum nama dicalonkan lagi, macam-macam dah keluar...provokasi itu dah mula, ini satu trend baharu," katanya.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimen Sungai Besar Tan Sri Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain