suria

Najib Rai PM Kemboja

Najib menghulurkan buah durian yang terkenal sebagai raja segala buah kepada Hun Sen (dua, kiri) dan isteri Bun Rany (kiri) pada majlis makan malam meraikan Perdana Menteri Kemboja itu sempena lawatan rasmi ke Malaysia di Seri Perdana malam Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan isteri Bun Rany Hun Sen pada majlis makan malam di Seri Perdana di sini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek.

Sebaik tiba di Kompleks Seri Perdana, Najib menyambut Hun Sen dan Bun Rany dan mengiringi mereka ke foyer Dewan Protokol di mana sedia terhidang buah-buahan termasuk durian, pisang montel, rambutan, nanas, nangka, dokong dan buah naga.

Najib memperkenal dan menerangkan mengenai buah-buahaan itu kepada Hun Sen dan isteri.

Turut dipamer ialah produk daripada Lembaga Koko Malaysai seperti coklat, biskut dan kosmetik.

Selepas melihat buah-buahan dan produk koko tersebut, jamuan berlangsung di Dewan Protokol yang diraikan dengan pelbagai lagu dan tarian termasuk joget.

Para tetamu dijamu dengan menu masakan Melayu dan Barat.

Hun Sen sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula pada Jumaat.

Beliau tiba pada Rabu dan menghadiri Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN di Kuala Lumpur selama dua hari sehingga Khamis. 

- BERNAMA

Artikel Lain