suria

Hujan Batu: Perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling Tergendala

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Rapid KL LRT laluan Sri Petaling tergendala seketika petang Jumaat berikutan gangguan bekalan elektrik akibat hujan batu yang melanda sebahagian besar ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata tiga stesen LRT yang terbabit dengan gangguan itu ialah Sungai Besi, Bukit Jalil dan Bandar Tasik Selatan.

"Perkhidmatan antara Cheras dan Sri Petaling terhenti dari pukul 6.24 petang manakala perkhidmatan di stesen lain diteruskan dengan masa menunggu lebih lama antara Awan Besar dan Bandar Puteri.

"Semua tren, kecuali satu, berhenti di platform dan penumpang diturunkan," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Ahmad Nizam berkata pasukan operasi dihantar untuk mengeluarkan penumpang dalam tren yang berhenti berhampiran stesen Bukit Jalil.

"Kesemua 220 penumpang dibawa keluar dengan selamat pada pukul 8.15 malam," katanya.

Ahmad Nizam berkata bas Rapid KL juga digunakan untuk membawa penumpang dari stesen LRT yang terbabit.

"Bagaimanapun, pergerakan bas juga terjejas berikutan kesesakan trafik akibat pokok tumbang.

"Kami meminta maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pelanggan kami berikutan insiden itu," katanya.

Menurutnya perkhidmatan tren kembali pulih seperti biasa dari pukul 9 malam.


LRT, hujan batu, tergendala

Artikel Sebelum

Najib Rai PM Kemboja

Artikel Berikut

Artikel Lain