suria

Jangan Terburu-Buru Buat Kenyataan Pindaan RUU

KUALA KANGSAR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta tidak terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung usul pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata ketua-ketua parti komponen BN hendaklah mempamerkan tahap kefahaman yang lebih tinggi dalam sesuatu perkara dan tidak terpengaruh dengan tekanan pembangkang.

"Tidak manis apabila ada pemimpin kanan membuat kenyataan kalau dibentangkan di Parlimen nak meletakkan jawatan.

"Kita mengambil sikap cuba untuk memahami dan kita tidak tersasul kerana ia menunjukkan seolah-olah kita tidak ada kesatuan sesama kita sedangkan apa yang dibuat diputuskan oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Arked Majis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Kangsar di sini, Isnin.

Annuar yang juga Pengerusi Mara berkata setiap anggota Parlimen mempunyai hak untuk meminta Abdul Hadi yang juga wakil rakyat Marang supaya memberikan penerangan dan penjelasan sebelum cadangan rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen Oktober depan.

"Kerajaan tidak terikat dengan pembentangan ini kerana kita mempunyai lima pilihan iaitu muafakat semua sokong secara whip, tolak secara whip, sokong atau tidak, mengundi mengikut selera hati dan tidak mengambil bahagian langsung.

"Kita biar Abdul Hadi bentangkan dulu dan kita nak tengok kerana kita berpeluang kaji atau tolak apabila ia dibahaskan di Parlimen nanti," jelas Annuar.

Pada 26 Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul rang undang-undang itu bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Umno

Artikel Lain