Tuntutan Terhadap Sabah Tidak Menjadi Isu - Najib - Semasa | mStar

Tuntutan Terhadap Sabah Tidak Menjadi Isu - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) melihat lintas hormat Helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada majlis Pecah Tanah Pangkalan Operasi Hadapan Helikopter dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah sempena lawatan kerja di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) pada Sabtu.

LAHAD DATU: Rancangan pihak-pihak tertentu untuk membuat tuntutan terhadap Sabah tidak menjadi isu kerana negeri ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Oleh itu, saya anggap ini (tuntutan terhadap Sabah) bukan suatu isu dan saya ingin menyatakan bahawa bumi Sabah ini kita tetap pertahankan kerana Sabah merdeka dalam Malaysia," katanya ketika diminta mengulas kenyataan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte, Rabu lalu bahawa negara itu akan meneruskan tuntutannya terhadap Sabah.

Katanya Sabah sudah merdeka dalam Malaysia seperti yang diputuskan pada 1963 dan status negeri ini diputuskan hasil referendum yang dilakukan Suruhanjaya Cobbold dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sekali gus, katanya, tiada pihak yang boleh mempersoalkan status negeri ini dari segi undang-undang antarabangsa.

"Rakyat Sabah pun sudah menyatakan hasrat sepanjang masa bahawa mereka bersama-sama dalam Malaysia dan perkara ini dinyatakan juga oleh Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri," katanya pada sidang media selepas melancarkan pecah tanah projek pembinaan pangkalan operasi hadapan (FOB) helikopter Lahad Datu di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Musa menegaskan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina dan mana-mana pihak terhadap negeri ini dan Sabah memilih untuk kekal di dalam persekutuan Malaysia.

Najib memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kedaulatan Sabah dan Malaysia.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan untuk mempertahankan Sabah dan ia menggambarkan komitmen kerajaan yang bersungguh-sungguh dalam menjamin, memelihara dan memberi makna kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang merdeka dalam Malaysia.

Menurutnya, kerajaan akan tetap mempertahankan setiap inci negeri ini bagi mempastikan rakyat Sabah boleh hidup dengan aman dan selamat sepanjang masa.

Najib berkata jika setiap rakyat bersama dan memainkan peranan dalam mempertahankan bumi Sabah bersama kerajaan, ini akan dapat memastikan negeri ini terus berada dalam keadaan selamat.

"Rakyat perlu setia kepada kerajaan, kepada bumi Sabah ini dan kepada Malaysia...jangan sesekali menjadi tali barut kepada musuh negara," katanya.

"Kita juga inginkan industri pelancongan terus maju di Sabah dan amat penting dalam usaha kerajaan yang melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar, rakyat mesti juga memainkan peranan," kata perdana menteri.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Projek FOB helikopter dengan peruntukan RM9 juta di kawasan seluas 0.48 hektar di Lapangan Terbang Lahad Datu itu membabitkan pembinaan shelter dan apron yang mampu menempatkan enam helikopter.

FOB itu akan berfungsi sebagai pusat transit dan bantuan udara untuk pengoperasian semua jenis helikopter Angkatan Tentera Malaysia selain berupaya diangkat sebagai pusat operasi ketika operasi pertahanan dilaksanakan bagi melumpuh serangan atau ancaman luar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain