suria

Datuk Didakwa Terlibat Pengubahan Wang Haram

PETALING JAYA:  Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad, Datuk Nazrul Izad Mohd Arsad, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.52 juta.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan selepas ia dibacakan kepadanya pada Khamis.

Ketiga-tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta yang sama.

Jika didapati bersalah, Nazrul boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta, hukuman penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan.

Dia didakwa menerima wang daripada aktiviti haram melalui cek yang dibankkan ke dalam akaun milik Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya di Hong Leong Bank Berhad dan dituduh melakukan kesalahan itu pada 26 November dan 29 November pada 2013 dan Februari 2014 di Taman Setapak Indah Jaya di Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Kamal Nizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000, dan mengarahkan Nazrul menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM300,000.

Peguam Nazrul, Mohd Shahril Adan bagaimanapun berhujah bahawa RM300,000 adalah terlalu tinggi untuk jaminan kerana anak guamnya tidak bersalah dan masih belum dibuktikan bersalah.

Artikel Lain