suria

Malaysia Raih Anugerah Pelancongan Perubatan Terbaik IMTJ Dua Tahun Berturut-turut

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia dinobatkan sebagai 'Destinasi Pelancongan Perubatan Terbaik' pada Anugerah Pelancongan Perubatan International Medical Travel Journal (IMTJ) 2016 yang diadakan di Madrid, Sepanyol pada 24 Mei.

Malaysia juga memenangi anugerah yang sama pada majlis anugerah tersebut tahun lepas, kata Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

MHTC berkata Malaysia memenangi hampir separuh daripada anugerah yang diberikan semasa majlis itu, yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Pelancongan Perubatan IMTJ yang berlangsung di Madrid pada 24-26 Mei.

Antara anugerah yang dimenangi hospital-hospital negara termasuklah kategori Hospital Antarabangsa Terbaik (Sunway Medical Centre), Klinik Pergigian Antarabangsa (Imperial Dental Specialist Centre) serta Klinik Kesuburan Antarabangsa (TMC Fertility Centre).

"IMTJ berbesar hati menganugerahkan anugerah ini kepada MHTC dan hospital swasta Malaysia sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang penjagaan kesihatan yang mereka sediakan kepada pelanggan kesihatan dari seluruh dunia.

"Penjagaan kesihatan Malaysia, tidak diragui lagi, adalah kuasa baharu yang sedang meningkat naik dalam dunia penjagaan kesihatan global," kata kenyataan itu yang memetik komen oleh Keith Pollard, Ketua Editor IMTJ dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intuition Communications Ltd, syarikat induk IMTJ. 

CEO MHTC, Sherene Azli berkata, anugerah itu mengukuhkan lagi reputasi negara sebagai pemain utama dalam industri pelancongan perubatan. 

"Penjagaan kesihatan di Malaysia boleh didapati dengan mudah, mampu milik dan dengan kualiti bertaraf dunia. Keselamatan dan penjagaan pesakit diberi keutamaan dan dijamin oleh mandat standard tinggi daripada peraturan ketat kerajaan. 

"Kami berbangga dunia semakin menyedari perkhidmatan penjagaan kesihatan bernilai tinggi yang mampu disediakan Malaysia," katanya. -- Bernama

Malaysia, IMTJ, Madrid, MHTC

Artikel Sebelum

Artikel Lain