suria

Najib Umum Peruntukan RM2.5 Juta Bantu Institusi Pondok

KUALA NERUS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi membantu institusi pondok di negara ini agar terus maju dan terbela.

Beliau berkata sebanyak RM500,000 untuk bantuan segera menerusi Tabung Kasih Perdana Menteri bagi membantu institusi pondok yang ditimpa bencana manakala RM2 juta dalam bentuk geran kepada Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM).

Katanya, Tabung Kasih Perdana Menteri itu adalah pertama kali diperkenalkan dan peruntukannya akan ditambah mengikut keperluan semasa.

"Saya bersetuju peruntukan geran sebanyak RM2 juta kepada YPPM bagi meneruskan kajian mengenai institusi pondok negara ini, selain mengoperasikan semula instrumen media sosial milik YPPM," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia kali ke-2 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Eksekutif YPPM Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam ucapannya, Najib mengalu-galukan pendekatan ijtimak bertemakan pemantapan istitusi pondok melalui sistem wakaf yang dianggap satu pendekatan yang baik dan munasabah untuk mencari penyelesaian kepada masalah kewangan yang dihadapi institusi pondok.

Katanya, pendekatan wakaf telah lama diamalkan di institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, serta beberapa universiti di negara Barat.

"Universiti terkemuka seperti Harvard, Cambridge dan Yale adalah contoh terbaik yang menggunakan dana daripada orang perseorangan yang berharta.

"Dalam sejarah, wakaf termasuk antara manfaat yang paling mendapat perhatian umat Islam. Hampir setiap kota besar Islam juga ada universiti, perpustakaan dan pusat Islam daripada hasil wakaf.

"Saya berharap semua ini akan membuka hati umat Islam dalam negara ini untuk menggunakan kaedah wakaf untuk pelbagai tujuan termasuk pembangunan institusi pondok pada masa akan datang," katanya.

Perdana Menteri turut menyarankan YPPM mengambil inisiatif untuk mendaftarkan institusi pondok bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan peruntukan yang disediakan pihak kerajaan.

Berhubung kenyataan Dr Mashitah dalam ucapannya bahawa YPPM kini kekurangan sumber kewangan dan dana bagi membantu institusi pondok, Najib berkata: "Setaip kali beliau (Mashitah) berjumpa dengan saya perkara inilah yang sering kali beliau bangkitkan ... bahawa beliau masih belum lagi mendapat bantuan ini kerana (pondok) belum mendaftar.

"Saya berharap kita dapat mencari penyelesaian atas perkara ini kerana hasrat saya nak bantu semua pondok di Malaysia. Mudah-mudahan semua pondok di Malaysia boleh mendapat keuntungan," katanya.

Mengikut rekod, daripada lebih 400 institusi pondok di negara ini, hanya 112 sahaja yang berdaftar dengan YPPM.

Artikel Lain