suria

DUN Pulau Pinang Lulus Usul Tergempar Tambakan Laut

Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul tergempar mengenai pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang pada Jumaat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata usul berkenaan antara lain mewajibkan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak memulakan projek penambakan laut sehingga mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (DEIA) dari Jabatan Alam Sekitar.

Ketikla membentangkan usul itu hari ini, katanya kelulusan itu juga perlu dipantau dan diperiksa oleh Majlis Pengangkutan Negeri (PTC).

Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu mencari alternatif lain dari segi pembiayaan projek-projek PIP yang mempunyai model yang berdaya maju dan mampan termasuk pembiayaan oleh kerajaan persekutuan.

"Dewan ini menyuarakan keprihatinan tentang projek penambakan laut untuk mewujudkan tiga buah pulau buatan kira-kira 4,500 ekar untuk tujuan pembangunan bagi membiayai kos pelaksanaan PIP.

Ketika membahaskan usul itu, Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berharap kerajaan negeri akan melaksanakan pembangunan yang seimbang bagi penduduk dikawasan bandar dan kampung termasuk di bahagian pulau dan tanah besar.

Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) pula menyifatkan usul berkenaan sebagai satu sejarah apabila kesemua wakil rakyat bersama-sama membincangkan mengenai pelaksanaan projek PIP.

Beliau berharap PTC dapat mengkaji dan menilai pelaksanaan PIP, selain memastikan semua isi kandungan dalam perjanjian projek itu dibincangkan tanpa berdasarkan kepartian.

Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengesyorkan PTC turut dianggotai wakil dari Barisan Nasional (BN) bagi memastikan penyediaan laporan yang telus.

Terdahulu, Muhamad Farid menarik balik usul tambakan laut yang sepatutnya dibentangkan pada sidang DUN hari ini berikutan kerajaan negeri mengemukakan usul tergempar itu. 

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN, Datuk Jahara Hamid pada sidang media menyifatkan usul tergempar itu sebagai kemenangan moral kepada BN Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri terpaksa menerima usul berkenaan kerana ia mempunyaikredibiliti dan asas bagi menjaga kepentingan rakyat di negeri ini," katanya. -Bernama

Artikel Lain